Majlis Daerah Tampin telah menjayakan Kempen Kawalan Infestasi Lalat di bawah program Kesihatan Persekitaran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung di Pasar Besar Tampin sebentar tadi. Program ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Puan Suriani binti Salihan.
Penyertaan aktif para peniaga Pasar Besar Tampin dengan pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang kempen, antaranya kerja-kerja pembersihan kawasan, mengecat bangunan dan petak parkir, pameran agensi dan pertandingan gerai bersih.
Turut hadir menjayakan program ini ialah Pejabat Perkhidmatan Veterinar Tampin, Pejabat Kesihatan Daerah Tampin, Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, dan SWCorp Tampin.
Penganjuran kempen ini bertujuan untuk menilai tahap infestasi lalat melalui aktiviti pemantauan dan pengukuran indeks lalat di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti berisiko di kawasan pasar. Hasil penilaian tersebut menjadi asas kepada pelaksanaan langkah-langkah kawalan yang lebih berkesan bagi mengurangkan populasi lalat, sekali gus meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Gerai Bersih sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka dalam mengekalkan kebersihan dan keceriaan ruang perniagaan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi dan tagline Majlis Daerah Tampin, “TAMPIN INDAH BERSIH SELAMAT"


