MENU

Kuala Lumpur, 16 Julai 2024 (Korporat SUKNS) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-266 di Istana Negara diiringi oleh Menteri Besar Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut. Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. Berangkat sama, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah turut berangkat ke mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mesyuarat pada hari ini turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada mesyuarat itu, Raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua Menteri.

Kali terakhir mesyuarat MRR diadakan adalah pada 21 Februari lalu yang berlangsung selama dua hari.

 

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan