MENU

Seremban, 4 September 2024 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif dalam menangani bencana dengan menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) membabitkan ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, berkata pasukan yang dianggotai penduduk setempat di sesebuah kampung atau perumahan akan berperanan memberi bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi bencana.

Katanya, setakat ini anggota pasukan daripada 51 kampung telah diberikan latihan asas menyelamat oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mereka adalah kumpulan awal yang terlatih dan berkemahiran dalam aktiviti pengurusan bencana yang dapat memberi tindak balas pertama secara cekap apabila kejadian sebegitu berlaku di kawasan kampung atau kediaman. Melalui pasukan ini, kita berharap bukan saja akan dapat membantu menyelamatkan mangsa malah harta benda," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam JPKK Peringkat Negeri, di sini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan negeri tahun ini menerusi Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan (APNS) menerima sambutan baik daripada rakyat.

Beliau berkata, antara inisiatif itu ialah caruman bantuan RM100 bagi kelahiran baharu, bantuan perkahwinan pertama belia (RM500) dan sumbangan keceriaan warga emas (RM200).

"Sehingga 31 Ogos 2024, penerima sumbangan keceriaan warga emas mencecah seramai 31,673 orang dengan peruntukan sebanyak RM6.3 juta. Manakala caruman bayi sebanyak 71 orang dan bantuan perkahwinan belia seramai 969 orang," katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, barisan EXCO Kerajaan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan Negeri.

Sumber - Portal Rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan