MENU

Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia serta Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) melancarkan Jadual Input-Output Negeri dan Daerah bagi Negeri Sembilan. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika merasmikan penganjuran PERSIDANGAN Persatuan Input-Output Antarabangsa (IIOA). Persidangan IIOA ke-28 itu yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 2 September 2022 menghimpunkan seramai 120 pengamal teknik input-output, penyelidik dan penggubal dasar dari 30 buah negara termasuk tujuh penyertaan dari Malaysia.

Jadual input-output merupakan sebuah pangkalan data yang lazimnya digunakan dalam permodelan bagi menilai dan merancang ekonomi peringkat sektoral bagi sesebuah negara dan negeri. Analisis daripada jadual input-output membolehkan sektor ekonomi tumpuan dikenal pasti dan impak pelaburan dan pembangunan sesebuah sektor ke atas ekonomi, sosial dan alam sekitar dapat nilai secara holistik dan inklusif.

Pembangunan dan penerbitan Jadual Input-Output Negeri dan Daerah bagi Negeri Sembilan ini telah menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri pertama yang merintis kepada pewujudan jadual input-output wilayah di Malaysia dan menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam mentransformasi kaedah perancangan ekonomi bagi memperkasa dan memperkukuh asas ekonomi Negeri Sembilan.

Pembangunan Jadual Input-Output Negeri dan Daerah ini membantu Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penggubalan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy). Justeru, intervensi yang lebih bersasar dan produktif dapat dijalankan dengan mengambil kira impak dan potensi sektor ekonomi sekali gus membantu mengurangkan ketidakcekapan penggunaan sumber dalam usaha meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan secara keseluruhannya. Intervensi ini dapat memperkukuhkan pemantauan ekonomi peringkat sektoral melalui tindak balas antara penawaran dan permintaan.

Hasil analisis Jadual Input-Output Negeri dan Daerah bagi Negeri Sembilan ini menjadi asas kepada penyediaan dokumen perancangan jangka masa sederhana iaitu Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021–2025 yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat. Dokumen RPNS 2021-2025 ini mengandungi hala tuju dasar pembaharuan dan transformasi ke atas ekonomi Negeri Sembilan, serta bertindak sebagai pelengkap kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di peringkat nasional.

Sementara itu, majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Dr. Razali Ab Malik, Profesor Madya Dr. Mohd Yusof Saari Presiden Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia dan Sanjiv Mahajan Presiden Persatuan Input-Output Antarabangsa.

Antara topik yang diketengahkan adalah ekonomi mampan, analisis rantaian nilai global, analisis bencana, analisis pekerjaan, keperluan buruh asing dan pemulihan ekonomi pasca COVID-19. Persidangan itu terdiri daripada sesi pleno, mesyuarat majlis, perhimpunan agung tahunan dan makan malam persidangan.

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan (Korporat SUKNS)