MENU

Sejumlah 28 qari dan qariah akan mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2019 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 22 Mac di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.

Majlis anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kerajaan Negeri Sembilan dan beberapa agensi dan jabatan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri itu turut menyaksikan penyertaan 84 orang bagi kategori menghafaz al-Quran. Negeri Sembilan turut menghantar lapan peserta menyertainya.

Majlis berkenaan yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad depan dan penutup serta penyampaian hadiah pada 22 Mac oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM15,000, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan, naib johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM10,000, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan. Manakala tempat ketiga, mereka akan menerima wang tunai RM7,500, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

MTHQK akan disiarkan secara langsung menerusi RTM dan TV AlHijrah serta beberapa station radio seperti Nasional FM dan IKIM FM pada pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.

-Sumber : Korporat SUKNS