Seremban, 30 Julai 2020 Orang ramai diminta agar menggantikan Jalur Gemilang yang telah lusuh dan koyak kepada yang baharu dalam menzahirkan semangat patriotisme serta rasa cinta kepada negara.
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun berkata masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak merasa segan mengibarkan Jalur Gemilang yang tidak sempurna bahkan turut meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya.
“Kita minta orang ramai untuk tukarkan bendera yang sudah lusuh dan koyak dan kibarkanlah ia ditempat yang sepatutnya sebagai tanda cinta kita kepada negara... jangan pasang bendera terbalik dan sebagainya hingga menyebabkan negeri ini menjadi tular.
“Saya juga ada minta pihak berkuasa tempatan untuk pantau mana-mana bendera yang dikibarkan di tempat tinggi agar digantikan kepada yang baharu sekiranya didapati ia sudah lusuh dan koyak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri di sini, hari ini.
Tambahnya sebagai rakyat Malaysia, masyarakat perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengibarkan Jalur Gemilang tanpa diarahkan atau dipaksa mana-mana pihak.
Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan