MENU

Seremban, 20 Ogos 2020  Berlangsung dalam suasana negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sambutan Maal Hijrah 2020/1442 disambut sederhana dan penuh kesyukuran.

Suasana dan semangat penghijrahan tetap dirasai umat Islam negara ini, biarpun majlis harus mematuhi SOP antaranya penjarakan fizikal dan hadirin memakai pelitup muka.

Sambutan kali ini juga menjadi medan menghargai sumbangan pemimpin barisan hadapan, yang bekerja keras dalam mendepani cabaran mengekang COVID-19, apabila mereka dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut berangkat pada majlis sambutan yang diadakan secara ringkas di Masjid Negeri. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik.

Bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ majlis dipimpin dan dimulai dengan bacaan doa akhir tahun 1441H dan bacaan doa awal tahun 1442H yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Mohd Yusof Ahmad.

Di Negeri Sembilan menghargai enam pemimpin barisan hadapan, dengan Anugerah Khas bersempena sambutan peringkat negeri itu. Mereka adalah iaitu Panglima 1 Briged Kem Rasah Brigedier Jeneral Mohd Nazri Abd Rahman; Ketua Polis negeri Dato’ Mohamad Mat Yusop, Pengarah Kesihatan negeri Datin Dr. Harlina Abdul Rashid. Turut menerima anugerah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Rosnah Sardi; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Fazlisyah Muslim; dan Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) negeri Khairul Aswadi Kamarudin.

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan