MENU

Seremban, 31 Julai 2019 (Korporat SUKNS) - Kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) hari ini menandatangani satu Perjanjian Usahasama melalui pemaju De Four Development Sdn Bhd untuk membangunkan Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan.

Kerajaan Negeri Sembilan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Dr. Razali Ab Malek dan De Four Development Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Ahmad Faez Abdul Razak.

Projek akan dibina di tanah milik PKNNS berkeluasan 45.10 ekar berhampiran Seremban 2 Heights dan Bandar Ainsdale yang melibatkan pembinaan 351 unit rumah teres Jenis A dan Jenis B.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata kawasan itu dipilih kerana berdekatan dengan pelbagai jabatan kerajaan negeri bagi memudahkan penjawat awam ke tempat kerja.

“Selain itu, kita merasakan adanya keperluan untuk golongan sederhana dan kaya tinggal bersama di satu kawasan supaya hubungan antara masyarakat tidak rosak. Kita tidak mahu ada perbezaan kawasan elit dan sebagainya,” katanya selepas menyaksikan pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Usahasama di antara PKNNS dan De Four Development Sdn Bhd di Wisma Negeri.

 

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan