MENU

SEREMBAN, 7 Disember 2018 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan telah menyusun semula pembangunan Lembah Visi Malaysia (MVV) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang akan melibatkan perusahaan berimpak tinggi dalam sesuatu kluster.

Projek pembangunan itu yang akan dikenali dengan nama MVV 2.0 juga akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia di negeri ini.

Sekretariat MVV kini rancak mengumpul maklum balas daripada golongan belia tanpa mengira umur dan latar belakang bagi memastikan projek MVV memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat negeri ini.

Kerajaan negeri juga akan mendapatkan khidmat pakar dan profesional sama ada daripada institusi pengajian tinggi atau universiti untuk memberi pandangan serta menganalisis input bagi memastikan perancangan yang bertepatan untuk dilaksanakan.

MVV 2.0 yang merangkumi empat kluster utama iaitu industri, pendidikan, pelancongan dan perkhidmatan khusus dijangka dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Aminuddin Harun pada 13 Disember ini.

Projek pembangunan mega dalam masa 30 tahun ini dikendalikan oleh Sime Darby Property Bhd bakal merupakan koridor ekonomi keenam negara yang merangkumi keluasan lebih 153,300 hektar.

 

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan http://www.ns.gov.my