Program Promosi eParking @PBTPAY anjuran Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama Pejabat Khidmat DUN Repah telah dilaksanakan dengan jayanya di Kompleks Arena Dataran Tampin.
Program yang diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan penerangan secara terus kepada orang awam dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan melalui penggunaan teknologi digital. Selaras dengan arus pemodenan, pelaksanaan sistem eParking ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam menyediakan kemudahan yang lebih cekap, pantas dan mesra pengguna kepada masyarakat.
Sebagai galakan kepada orang ramai, pada hari ini MDT dengan kerjasama YB ADUN Repah telah menyediakan insentif berupa tambah nilai (topup) RM10.00 dalam aplikasi PBTPAY kepada 200 pengunjung terawal yang mendaftar kehadiran.
Pengunjung yang layak boleh menuntut kreadit tambahan sebanyak RM10.00 di kaunter yang disediakan dengan mengemukakan bukti paparan tambah nilai dalam aplikasi PBTPAY.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Tuan Veerapan a/l Superamaniam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Repah merangkap, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan. Turut hadir ialah Encik Mohamad Zubir bin Sidi, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Aplikasi 1, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku penceramah jemputan yang menerangkan berkaitan eParking PBTPAY, wakil-wakil agensi Kerajaan dan Swasta serta Jawatankuasa Penduduk yang bersama-sama menjayakan program pada hari ini.
Semoga program yang telah dilaksanakan pada hari ini menjadi salah satu inisiatif dalam memperoleh sokongan penuh daripada seluruh warga daerah Tampin serta menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.


