3 & 4 Mac 2025 | Bengkel Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) 2025 anjuran Majlis Daerah Tampin (MDT) telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Zamrud, Tingkat 3, MDT. Bengkel ini disertai oleh 23 ahli KIK, dengan kehadiran Yang Dipertua MDT, Puan Suriani binti Salihan, serta Setiausaha, Puan Siti Noraidah, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh budaya inovasi di MDT.
Bengkel ini bertujuan untuk membudayakan inovasi dalam kalangan penjawat awam serta sebagai persediaan bagi pertandingan KIK yang dianjurkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Inisiatif ini dijangka memberikan impak yang signifikan dalam peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan, memperkukuhkan kerjasama antara jabatan, serta mencungkil bakat inovatif dalam kalangan warga MDT.
Melalui sesi interaktif dan perkongsian ilmu, bengkel ini membuka perspektif baharu kepada para peserta mengenai kepentingan inovasi dalam sektor perkhidmatan awam. Diharapkan, usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan MDT dalam melaksanakan transformasi perkhidmatan yang lebih efisien dan responsif kepada masyarakat.