Tampin, 23 November 2024 (Korporat SUKNS) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Arena Tampin.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama putera baginda, Tunku Zain Al-’Abidin. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim.
Baginda berdua kemudian berkenan menyertai majlis santapan dengan diserikan dengan persembahan tarian tradisional India serta seni kebudayaan yang lain. Persembahan bertemakan rakyat berbilang etnik dan budaya di Negeri Sembilan yang sentiasa teguh menyulam semangat kebersamaan, meraikan perbezaan serta memperkukuh jalinan keharmonian.
Aminuddin ketika ditemui berkata pihaknya berterima kasih kepada kira-kira 6,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa yang memeriahkan sambutan itu bermula tengah hari. Program ini menyuburkan nilai-nilai kebersamaan dengan menggembleng usaha membina perpaduan.
"Program ini dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat. Sambutan diberi oleh masyarakat setempat sangat baik dan pelbagai juadah lazat berasaskan makanan tradisional masyarakat India disediakan kepada pengunjung," katanya.
Lebih 20 juadah disediakan antaranya capati, roti canai, kari kambing, puri, sate, putu mayam dan nasi beriani.
Sumbangan duit raya turut disampaikan kepada lebih 200 kanak-kanak yang hadir.
Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan