MENU

Rembau, 3 Jun 2022 (Korporat SUKNS) – - Projek Perkhidmatan Bas Luar Bandar Negeri Sembilan (RENTAS NS) yang diperkenal oleh Kerajaan Negeri akan memanfaatkan 70,000 penduduk Rembau dan Tampin sekali gus memperkasa sistem pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan desa ke bandar.

Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata projek dengan peruntukan RM1 juta itu membabitkan laluan bukan komersial merangkumi 25 institusi pengajian dan sekolah serta 47 kawasan perkampungan, taman perumahan serta fasiliti kesihatan. Beliau berkata semua laluan dipilih berdasarkan pandangan serta maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah serta masyarakat setempat.

Kerajaan Negeri menerusi MARA Liner Sdn Bhd iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkenal Projek RENTAS NS yang mula beroperasi pada 16 Mei lepas dan difahamkan kira-kira 7,000 pengguna sudah menikmati kemudahan tersebut.

"Lapan unit bas midi baharu yang berkapasiti 30 penumpang disediakan bagi memenuhi perkhidmatan perjalanan ulang-alik di dua laluan Rembau dan Tampin," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LED Billboard Daerah Rembau dan RENTAS NS Daerah Rembau dan Tampin di sini Rembau Waterfront.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik, Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Mohd Diah Abas Beliau berkata projek itu secara tidak langsung merancakkan ekonomi penduduk di sepanjang laluan baharu terbabit selain akan mempertimbang peluasan perkhidmatan ke daerah lain. Bagi laluan di Rembau, perkhidmatan RENTAS NS akan bermula dari Kampung Cuai melalui Kampung Chembong Kechil, Sepri Pedas, Kundur sehingga ke Rumah Rakyat Linggi manakala satu lagi laluan ialah dari Kampung Senama Hilir Melalui Mampong, Kampung Pulau Mampat, Durian Daun, Pilin Paya Lebar Dalam dan Klinik Kesihatan Lubok China.

Laluan di Tampin pula akan bermula dari Kampung Keru melalui Kampung Batu Dalang, Kampung Gemencheh Lama, Felda Bukit Rokan, Kampung Felda Bukit Rokan Utara sehingga Klinik Kesihatan Bukit Rokan Utara manakala satu lagi laluan ialah dari Kampung Ladang, Kampung Ulu Ladang, Kampung Felda Bukit Rokan, Kampung Batang Rokan dan Kampung Gemencheh Lama.

Aminuddin juga berkata perkhidmatan itu menggunakan sistem bayaran tambang secara tunai dan tanpa tunai selain caj yang berpatutan termasuk pengurangan separuh harga untuk warga emas serta pelajar.

"Ketika ini tambang dikenakan antara RM2 hingga RM4 dan boleh menggunakan dengan cara tunai dan tanpa tunai," katanya.
Sementara itu, Mohd Diah ketika ditemui berkata, pihaknya menyediakan lapan unit bas mini dengan kapasiti 30 penumpang bagi memenuhi perkhidmatan trip ulang-alik di dua laluan daerah Rembau dan Tampin. Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan perkhidmatan berkenaan. "MARA juga dalam perancangan untuk membangunkan sebuah bengkel Pusat Kecemerlangan Pengangkutan (MTEC) di Rembau yang lengkap dengan penyediaan kepakaran kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan serta alat ganti dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta.

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan SUKNS