MENU

Seremban, 5 April 2022 (Korporat SUKNS) -Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 18 April ini dan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, pembukaan persidangan DUN itu akan disempurnakan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Beliau berkata, persidangan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac lepas terpaksa ditangguhkan susulan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Dato’ M Ravi serta 23 petugas dewan disahkan positif COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut bercadang mengadakan persidangan DUN secara hibrid mengikut keperluan selepas ini dalam menghadapi sebarang kemungkinan sehingga menyebabkan persidangan terpaksa ditangguh terutama ketika berdepan Covid-19.

Aminuddin bagaimanapun berkata, perkara itu masih dalam peringkat perancangan dan perlu diperhalusi serta ditambah baik terlebih dahulu sebelum dibawa kepada jawatankuasa DUN dan dipersetujui kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Kita tak tahu masa depan, dengan adanya langkah lebih memudahkan supaya DUN dapat dilaksanakan walau apa keadaan termasuk bencana dan COVID-19, kita tak mahu (sidang DUN) tertangguh. Kita kena bersedia cepat, tapi lebih baik diadakan bersemuka,” katanya. 

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan